Pages

Wednesday, December 1, 2010

Kerana Aku Sayang Kamu


Diamku tak bererti aku membenarkan
Bukan juga mengiyakan apa saja yang kau lakukan
Bisingku tidak bererti aku menyalahkan
Bukan juga melukakan
Tapi kerana aku amat menyayangimu
Maka aku cuba sedaya yang termampu
Menarikmu bersama mencari keredhaan-Nya
Di bumi yg terbentang luas ini
Kerana sayangku kepadamu
Maka aku cuba... dan terus mencuba!
Aku tak mahu berjalan mencari cahaya seorang diri
Dan membiarkan kau tergapai-gapai dalam kegelapan
Andai aku jumpa jalan
Tak akan kubiar kau sesat mencari jalan pulang
Aku akan! Itu janjiku!
Tapi hari ini hatiku benar-benar terguris
Terguris dengan tindakanmu
Terguris dengan janji palsumu untuk bersama-samaku mencari cahaya
Dan hati ini tiba-tiba timbul rasa benci
Benci kepada manusia yang menarik kau kembali ke jalan yang gelap
Hampir saja hari ini aku mungkiri janjiku itu
Namun tiba-tiba aku sedar
Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Aku sama saja sepertimu
Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Pasti si durjana bersorak gembira atas kelemahan jiwa mujahid ini
Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku
Pasti, pasti pemilik cahaya itu akan bertanya kepadaku
Mengapa aku biarkan kau dalam kegelapan?
Aku tak mahu berjumpa dengan pemilik cahaya itu keseorangan..
Tak mahu..!
Kerana aku sayang kamu..
Maka aku akan cuba..dan terus mencuba!
Walau sekeping hatiku ini akan terluka teruk
Aku akan terus mencuba
Kerana aku sayang kamu, sahabatku!

Untuk Gadis Yang Meningkat Remaja...


Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki.
Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.
Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah.
Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.
Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung.
Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan.
Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"
Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukumMu".
Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.
Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.
Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?"
Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik.
Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku?
Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu.
Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.
Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah.
Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.
Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan.
Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.
Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak.
Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun).
Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.
Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah.
Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya.
Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!
Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.
Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.
Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini.
Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.
Butirannya seperti ini, soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku: Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri jiranku: Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Annisa: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.
Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?
Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!
Annisa: Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Annisa: apakah hakikat tudung?
Isteri jiranku: Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia.
Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.
Annisa: Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.
Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.
Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab.
Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.
Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu
"buta, tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"
Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua, wassalam.

MAK, SAYA SAYANG MAK...


Isk.. isk.. isk.. Aku menangis, aku terkedu. Ya Allah, Kau ampunkanlah aku dan cucurilah roh ibuku di kalangan orang yang beriman.
Hamba-Mu ni anak yang derhaka, anak yang tak mengenang jasa.
Hamba-Mu ini tak tahu menilai intan dan kaca.
Hamba-Mu ni alpa dan asyik dengan keseronokan dunia, bangga dengan diri sendiri, ego...
Kini semuanya tak berguna lagi, ibuku telah tiada.
Dan aku anak tunggalnya yang diharap-harapkannya gagal memberi kasih sayang dan menjaganya di usia tua..
Oh! Kejamnya hamba-Mu ini...
Aku mengimbau....
"Man malu mak! Semua kawan-kawan Man mengejek Man. Mereka kata mak Man raksasa, hodoh. Ada satu mata aja."
"Biarlah Man, lama-lama mereka akan penat bercakap. Mereka akan berhenti mengata Man lagi."
"Arghhh... Man tak peduli mak. Mereka sentiasa mengejek Man.
Mak janganlah datang ke sekolah Man lagi. Man malu mak.. Man ada mak yang hodoh, mata satu. Man malu mak!"
Rizman bangun lalu pergi ke biliknya. Dia berazam nak belajar sebaik mungkin dan keluar belajar jauh dari kampungnya.
Ibunya sayu melihat anak tunggal kesayangannya itu. 
Tapi dia tetap bersabar dan sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya itu.
Akhirnya Rizman berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara dalam bidang perubatan.
Dia berjaya menjadi seorang pakar bedah yang berjaya.
Sepanjang tempoh tersebut, dia tak pernah mengirim berita atau melawat ibunya di kampung.
Namun ibunya tetap gembira apabila mengetahui kejayaan anaknya dan sentiasa mendoakan kejayaan untuk anak kesayangannya itu.
Rizman seolah-olah telah melupai ibunya, dia malu kerana maknya bermata satu, hodoh ibarat raksasa.
Ibunya mendapat tahu yang Rizman kini telah bertugas ibu kota.
Anaknya itu kini menjadi doktor pakar di sebuah hospital swasta tersohor di Malaysia.
Anaknya juga telah berkahwin dengan seorang anak Dato' dan mempunyai dua orang cahaya mata - seorang putera dan seorang puteri.
Hati ibunya melonjak-lonjak ingin bertemu dengan anak kesayangannya itu.
Dia bertekad yang dia mesti berjumpa dengan anaknya di ibu kota!
Suatu hari, ibunya menaiki teksi ke ibu kota.
Dia menuju ke rumah anaknya di kawasan elit, kawasan orang-orang berada dan berjaya.
Siapa yang tak kenal anaknya – doktor pakar bedah yang berjaya dan tersohor di Malaysia!
Setiba di banglo anaknya itu, ibunya itu menekan suis loceng rumah di pagar rumah tersebut.
"Keretanya ada, lagipun hari ni hari minggu, pasti anakku ada di rumah" getus ibunya.
Seorang pembantu rumah separuh umur datang dan menanya,
"Mahu apa makcik? Nak jumpa siapa?"
"Makcik nak jumpa dengan anak makcik"
"Anak makcik? Siapa?"
"Dr. Rizman tu anak makcik, anak tunggal makcik"
"Ooo... sekejap makcik ya, nanti saya panggil tuan"
Pembantu rumah tersebut bergegas masuk ke dalam rumah untuk memaklumkan kepada Dr. Rizman.
Sebentar kemudian, Rizman keluar dengan anak sulungnya, Aiman.
"Siapa kau wahai orang tua?"
"Man.. anak mak, intan payung mak, ni mak ni. Mak baru jer sampai dari kampung."
"Mak? Mak aku dah lama tiada. Aku tiada mak yang bermata satu dan hodoh macam kamu ni. Aku orang yang berjaya, takkan mak aku rupa macam ni?"
"Ayah.. Aiman takut ayah. Nenek ni mata satu, macam hantu!"
"Kau dengar tu orang tua, berambus kau dari sini. Jangan kau cuba nak menakutkan anakku ini pula! Berambus! Kau bukan mak aku!"
"Sampai hati kau Man, ni mak ni. Mak yang membesarkan kau dari kecil hingga kau dewasa"
"Arghh.. mak aku dah tiada. Pergi kau dari sini! Jangan ganggu keluarga aku ni wahai orang tua!"
Maknya menangis dan dengan penuh hiba, maknya beredar kerana dia tidak mahu menakutkan cucunya dan menjatuhkan maruah anaknya. Dia melangkah longlai dan hilang di puput bayu...
Malam-malam yang mendatang, Rizman sering bermimpi yang dia dibakar oleh api yang marak menyala.
Api itu seolah-olah takkan padam malah semakin marak menjulang tinggi. Bisa menelan apa saja yang di bakarnya.
Rizman rasa panas yang amat membara dan dia meminta tolong untuk di keluarkan daripada panas api tersebut.
Tiba-tiba dia terdengar satu suara,
"Kau akan kekal dalam api ini selama-lamanya kerana kau telah derhaka kepada ibumu yang melahirkan dan membesarkan kamu. Maka sinilah tempat mu yang paling sesuai sehingga ke akhir masa mu!"
Rizman terkejut dan bingkas bangun dari tidurnya. Dia beristighfar.
Memikirkan mimpinya itu yang masuk kali ini dah hamper tujuh hari berturut-turut dengan mimpi yang sama.
Perasaan sebak tiba-tiba datang melanda dirinya. Dia berasa amat berdosa dengan ibunya.
Rizman bertekad. Dia mesti pergi berjumpa ibunya esok. Mesti!
Setibanya di kampung, rumah ibunya bertutup rapat dan begitu sunyi.
Rizman memberi salam namun tiada siapa yang menjawab.
Tiba-tiba, Fuad; kawan Rizman sewaktu kecil menegur Rizman.
"Hoi anak derhaka! Baru sekarang kau nak balik? Buat apa kau balik, pergilah duduk di bandar sana. Sini kampung, tempat orang susah dan tak bersekolah! Buat apa kau nak balik sini?"
"Aku nak jumpa mak aku. Aku banyak dosa dengan dia. Aku nak memohon maaf dengan dia. Kau nampak mak aku Fuad?"
"Hoh.. dah buat salah senang-senang kau nak minta maaf ya. Kau tahu tak betapa besarnya dosa kita jika kita menderhakai kedua ibu bapa kita? Kau tahu tak?" herdik Fuad.
"Aku dah sedar, aku insaf, aku nak jumpa mak aku. Mana dia Fuad?"
"Kau terlambat Man, dia dah tiada. Baru dua hari lepas dia dah kembali ke rahmatullah"
"Apa?"
Man terjelepuk ke tanah menangisi kematian ibunya. Dia sedar yang dosanya tidak akan dapat diampunkan kerana kesalahannya dengan ibunya itu!
"Sebelum mak kau meninggal, dia ada tinggalkan satu surat kat kau. Nah! Kau pikirlah sendiri."
Man mengambil surat tu dan membaca...
Ke hadapan anak mak yang mak sayangi,
Mak berbangga kerana mak ada anak yang cerdik, pandai dan berjaya. Mak tumpang gembira.
Mak gembira kerana dapat juga melihat cucu mak yang dah besar tu. Mak tahu yang Man juga sangat sayang anak Man tu sama seperti mak menyayangi anak mak.
Mak dulu ada seorang anak. Pada waktu dia kecil-kecil dahulu, anak mak ni kemalangan. Matanya tertusuk dengan ranting kayu. Matanya buta. Mak rasa sangat sedih dan susah hati. Mak rasa seperti hidup mak dah berakhir.
Mak tak sanggup melihat anak mak itu dalam keadaan buta sebelah mata. Nanti kawan-kawannya ejek dia nanti macam mana? Mak tekad. Mak akan menghadiahkan sebelah mata mak kepada anak mak ini supaya dia boleh melihat dunia yang indah ini dan berjaya di masa hadapan.
Mak tak apa. Jika anak mak berjaya maka mak amat gembira kerana anak mak berjaya kerana dia dapat melihat melalui mata mak itu. Biarlah dia melihat dunia. Mak tak kisah tentang pengorbanan mak ini.
Kini segala impian dan harapan mak dah di penuhi. Mak tetap sayangkan anak mak. Mak ampunkan segala dosa anak mak ini. Mak doakan moga anak mak ini berjaya dunia dan akhirat.
Rizman terkedu. Air matanya pantas mengalir keluar.
Barulah dia sedar, mak yang dia selama ni dia cemuh telah memberikan matanya untuk dia supaya dia boleh berjaya dan melihat dunia.
Sesal yang tiada penghujungnya menyusup masuk ke sanubari Rizman.
"Mak! Ampunkan Rizman mak! Rizman banyak dosa dengan mak! Rizman sayang mak!"jerit Rizman.
*****
Dari Abu Hurairah R.A:
Datang seorang menemui Rasulullah S.A.W dia bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk bergaul dengan paling baiknya?" "Ibumu." Baginda S.A.W menjawab. "Kemudian siapa?", "Ibumu", "Kemudian setelahnya siapa?","Ibumu." Untuk kali berikutnya orang itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" "Ayahmu"jawab Baginda Rasulullah S.A.W.
Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita sewaktu hayat mereka kerana keredhaan Allah datang selepas kerdhaan kedua ibubapanya!